Usahawan muda, Erfan Akif atau Erfan Lee Ruslan merupakan salah seorang individu yang berminat untuk mengambil alih pasukan Kelantan FC. Erfan yang merupakan anak jati Kelantan mengakui sudah buat kajian dengan rapi sebelum membuat keputusan untuk membeli kelab yang dikenali dengan gelaran The Red Warriors itu.
“Saya sudah kaji dua tahun, setiap hari, jadi keputusan ambil alih Kelantan FC bukan dibuat terburu-buru atau tempoh singkat. Ini bukan gimik pemasaran (untuk perniagaan) kerana saya sudah ada perniagaan yang stabil kewangan yang kukuh,” jelas Erfan seperti dilaporkan oleh BH.
Sedar akan kos tinggi melibatkan pengurusan sebuah kelab bola sepak, Erfan berkata pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham yakin dengan kemampuan kewangan yang dimiliki beliau selepas berpengalaman menaja Kelantan sejak musim 2021 lagi.
“Saya terbuka untuk membeli Kelantan samada sebagai pemilik penuh atau jika Zamsaham mahu kekal sebagai pemilik, saya juga sedia jadi penaja utama atau pemegang saham terbesar.
“Ini tertakluk pada situasi menang-menang, jika saya lihat sesuai, saya terbuka dengan apa juga rancangan beliau (Zamsaham),” katanya.
Erfan juga akui tidak gentar bersaing dengan jutawan-jutawan lain yang turut berminat membeli pasukan Kelantan. Beliau bertekad mahu mengubah nasib pasukan Kelantan daripada berada di tangga tercorot kepada sepuluh pasukan terbaik di dalam Liga Super.
“Saya letak hati di depan, bukan sebab perniagaan atau duit, malah hasrat utama saya mahu TRW kembali menyinar, kalaupun tidak dapat treble seperti tahun 2012, dapat kedudukan 10 teratas pun okay berbanding tercorot musim ini,” katanya lagi.