Erling Haaland Tempa Rekod Baharu Bersama Norway
MakanBola
Fotballandslaget

Peledak berbisa Manchester City, Erling Haaland terus menempa rekod baharu bersama pasukan Norway.

Ini kerana gol kemenangan beliau dalam aksi pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia menentang Ivory Coast bukan saja gol ke-60 beliau di peringkat antarabangsa.

Malah, Haaland juga menjadi pemain terpantas merekodkan bilangan gol berkenaan dalam 53 perlawanan. Ini menjadikan bekas bintang Borussia Dortmund itu mengatasi dua peledak legenda, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi dari segi aspek berkenaan.

Ini kerana Ronaldo dan Messi masing-masing memerlukan 130 dan 122 perlawanan untuk mendapatkan 60 gol di peringkat antarabangsa.

Selain itu, Haaland juga sudah menjaringkan gol dalam 13 perlawanan berturut-turut. Beliau juga menjadi penjaring terbanyak Norway di pentas Piala Dunia dengan lima gol.

Angka itu menyaksikan Haaland kini hanya ketinggalan satu gol di belakang Messi dan Kylian Mbappe untuk perebutan Kasut Emas Piala Dunia. Mbappe dan Messi masing-masing menjaringkan enam gol.

Rekod ini juga yang mendorong jurulatih Norway, Stale Solbakken melabel Haaland sebagai peledak gol terbaik dunia ketika ini.

“Saya fikir beliau peledak gol terbaik di dunia, saya fikir tiada keraguan tentang itu. Untuk menjaringkan lima gol dalam tiga perlawanan Piala Dunia untuk negara kecil seperti Norway, saya fikir beliau pun tidak terfikir untuk melakukannya.

“Jadi, pujian harus diberi kepada beliau dan saya takkan tukar beliau dengan sesiapa kerana beliau peledak gol terbaik di dunia hari ini,” katanya seperti dilaporkan Match of the Day BBC.

Norway bakal bertemu Brazil di pusingan 16 pasukan terbaik untuk merebut tiket suku akhir. Aksi ini juga menyaksikan Haaland bakal memperbaharui persaingan dengan bek tengah Brazil, Gabriel Magalhaes.

Ini kerana kedua-dua pemain menjadi tonggak City dan Arsenal dalam pemburuan trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu. Pada akhirnya, trofi tersebut menjadi milik The Gunners dengan City terpaksa berpuas hati sebagai naib juara.