Kemenangan besar 6-0 Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) semalam jelas sekali membuktikan jurang yang jauh di antara JDT dan pasukan-pasukan lain yang bersaing di Liga Super musim ini.
Ini bukanlah kali pertama JDT mengakhiri perlawanan dengan kemenangan besar kerana mengikut rekod, daripada lapan perlawanan yang telah pun dilalui setakat ini, hanya perlawanan menentang Terengganu sahaja yang berakhir dengan jaringan kurang daripada tiga. Manakala selebihnya, jaringan yang dicipta JDT adalah melebihi tiga gol.
Mengulas kemenangan bergaya semalam, jurulatih JDT, Esteban Solari menegaskan bahawa perlawanan menentang Kedah merupakan perlawanan yang mencabar dan dalam masa yang sama beliau tidak lokek berkongsi tip berguna bagaimana mereka berjaya menjaringkan lima gol di separuh masa kedua.
“Sudah tentu kami sangat gembira. Kemenangan adalah sangat penting namun kami melihat kepada persembahan yang kami tampilkan. Hari ini merupakan perlawanan yang sukar apabila kami bertemu pasukan di tangga kedua (KDA FC).
“Kami berjaya menekan mereka dengan agak baik sehingga memaksa pemain mereka melakukan kesilapan. Jadi kami menekankan perkara tersebut dan para pemain faham dengan baik bagaimana perlawanan itu berlangsung,” jelas Solari dalam sesi sidang media selepas perlawanan.
Dalam perlawanan semalam, JDT dilihat sangat mendominasi perlawanan di separuh masa kedua dengan corak permainan menyerang dan dalam masa yang sama, tekanan tinggi yang dibuat ke atas barisan pemain Kedah memaksa kesilapan demi kesilapan dilakukan pasukan pelawat itu.
JDT akan meneruskan aksi Liga Malaysia dengan pusingan 16 terakhir Piala FA menentang PDRM FC pada 14 April ini. Perlawanan tersebut bakal dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim. Untuk rekod, JDT merupakan juara bertahan Piala FA apabila memenanginya musim lalu selepas menewaskan Terengganu FC 3-1 pada aksi final.