Bekas penyerang Everton, Cenk Tosun muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan buat Turkiye dalam aksi terakhir Kumpulan F EURO 2024 menentang Republik Czech.
The Crescent-Stars tahu mereka hanya perlu mengelak daripada tewas di tangan Republik Czech untuk mara ke pusingan 16 pasukan terbaik. Sementara Republik Czech pula perlu menang jika ingin mengiringi Portugal yang layak terlebih dahulu ke pusingan seterusnya.
Republik Czech turun tanpa peledak utama mereka, Patrik Schick yang disisihkan kerana masalah kecederaan. Sementara Turkiye yang dibimbing Vincenzo Montella menurunkan pasukan terkuat diketuai bintang Inter Milan, Hakan Calhanoglu.
Sebaik separuh masa pertama bermula, kedua-dua pasukan berusaha mendapatkan kelebihan gol awal. Republik Czech yang dibimbing Ivan Hasek kemudiannya ditimpa malang pada minit ke-20.
Antonin Barak yang telah mengutip kad kuning pertama dikesan memijak kaki Salih Ozcan semasa mendapatkan bola.
Meskipun pemain Republik Czech menegaskan Barak tidak sengaja berbuat demikian, pengadil Romania, Istvan Kovacs melayangkan kad kuning kedua kepada pemain Fiorentina itu.
Kelebihan 11 pemain cuba dimanfaatkan Turkiye dalam mendapatkan kelebihan gol. Baris Alper Yilmaz hampir meletakkan pasukan itu di hadapan pada minit ke-29 tetapi berjaya ditepis penjaga gol, Jindrich Stanek.
Aksi fizikal yang ditampilkan kedua-dua pasukan memaksa Kovacs terpaksa melayangkan kad kuning untuk mengawal suhu perlawanan. Dan ini memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Montella memasukkan Kaan Ayhan menggantikan Ozcan bagi mengurangkan risiko beraksi dengan 10 pemain.
Kesungguhan The Crescent-Stars memburu gol akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-51. Stanek menyangka telah berjaya menghalang percubaan Yilmaz daripada menembusi gawangnya.
Malangnya, bola tersebut melantun dan berjaya dirampas semula oleh Turkiye. Selepas menerima hantaran daripada rakan sepasukan, Calhanoglu melepaskan rembatan lencong tepat ke penjuru kanan gol.
Republik Czech terus ditimpa malang apabila Stanek terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-55. Ini memaksa Hasek memasukkan bekas penjaga gol Manchester United, Matej Kovar sebagai pengganti Stanek.
Kem Republik Czech kembali apabila kapten dan pemain tengah West Ham, Tomas Soucek meledakkan gol penyamaan pada minit ke-66.
Tatkala Republik Czech menyangka keputusan 1-1 sudah cukup untuk layak ke pusingan seterusnya, Tosun yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-75 memiliki idea berbeza.
Penyerang berusia 33 tahun itu masuk dari sebelah kiri sebelum melepaskan rembatan kencang yang menewaskan Kovar pada minit ke-94. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Selepas perlawanan tamat, pertelagahan tercetus antara kedua-dua pasukan. Keadaan ini memaksa Kovacs melayangkan kad merah kepada pemain Republik Czech, Tomas Chory.
Kemenangan itu memastikan Turkiye mengiringi Portugal ke pusingan 16 pasukan terbaik. Turut sama mengiringi mereka ialah Georgia yang meraih slot pasukan ketiga terbaik kumpulan.
Georgia yang dibimbing Willy Sagnol berjaya layak selepas mencipta kejutan dengan menewaskan Portugal dalam satu lagi aksi Kumpulan F. Sementara Republik Czech pula mengucapkan selamat tinggal kepada EURO 2024.
Meskipun tewas, impak besar Soucek kepada Republik Czech diiktiraf Sofascore. Soucek dipilih pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.9, 0.1 mata di hadapan Yilmaz.
Selepas ini, Turkiye akan menentang Austria untuk aksi pusingan 16 pasukan terbaik EURO 2024. Perlawanan itu akan berlangsung pada awal pagi 3 Julai ini.