Empat pasukan terbaik Eropah bakal berentap untuk merebut slot final EURO 2024.
Empat pasukan yang dimaksudkan ialah England, Belanda, Sepanyol dan Perancis. Daripada empat pasukan ini, hanya Belanda yang berjaya layak ke separuh akhir dalam tempoh 90 minit perlawanan.
Sementara The Three Lions dan Les Bleus pula terpaksa mengharapkan tuah penentuan sepakan penalti untuk mara ke separuh akhir. Manakala La Roja pula layak selepas mengharungi masa tambahan 30 minit.
Selepas bergelut untuk layak ke pusingan 16 pasukan terbaik sebagai pasukan ketiga terbaik kumpulan, Oranje yang dibimbing Ronald Koeman pula menunjukkan belang mereka.
Selepas membelasah Romania 3-0 di peringkat pusingan 16 pasukan terbaik, Belanda perlu bekerja keras sebelum menundukkan Turkiye 2-1 di peringkat suku akhir.
Ketumpulan serangan yang dihadapi England menyebabkan pasukan itu perlu bekerja keras untuk menyingkirkan Switzerland menerusi penentuan penalti.
Menariknya, kesemua penalti yang diambil The Three Lions mudah disempurnakan pada perlawanan itu. Ini sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada anak buah Gareth Southgate sekiranya diheret ke penentuan sepakan penalti.
Isu sama turut dihadapi Les Bleus. Meskipun diketuai penyerang baru Real Madrid, Kylian Mbappe, pasukan itu berdepan kesukaran menjaringkan gol.
Situasi ini tidak dibantu dengan Mbappe yang berdepan ketidakselesaan memakai topeng untuk melindungi hidungnya yang patah pada aksi pertama peringkat kumpulan.
Seperti England, Perancis juga terpaksa berjuang sebelum menyingkirkan Portugal di peringkat suku akhir menerusi sepakan penalti.
Ramai peminat Perancis mengharapkan isu ini tidak berlarutan jika mereka ingin bergelar juara EURO buat kali pertama sejak edisi 2000.
Sementara Sepanyol yang dibarisi generasi pemain muda berbakat seperti Lamine Yamal, Fermin Lopez dan Alex Baena dilihat bangkit selepas kekecewaan kempen Piala Dunia 2022.
Walaupun terpaksa melupakan khidmat Pedri akibat masalah kecederaan, anak buah Luis de la Fuente menunjukkan mereka pasukan yang handal. Ini terbukti apabila mereka menyingkirkan Jerman 2-1 di peringkat suku akhir.
Sepanyol bakal menentang Perancis pada awal pagi 10 Julai. Sementara England pula menentang Belanda pada awal pagi 11 Julai.