Skuad wanita Selangor memperkenalkan barisan pemain yang bakal menyahut cabaran bagi menghadapi saingan 2024.
Pengumuman ini dibuat menerusi satu hantaran di Instagram Selangor FC Women yang memaparkan pemain-pemain dan nombor jersi mereka untuk digunakan bagi musim hadapan.
“Memperkenalkan barisan pemain dan nombor jersi rasmi buat skuad wanita Selangor FC 2024 yang akan bersaing bagi musim 2024 ini”
Skuad wanita Selangor yang dibimbing bekas ketua jurulatih bawah 17 tahun negara, Osmera Omaro dijangka tampil berbeza pada musim kali ini dengan gabungan pemain muda dan senior yang mampu mengangkat nama The Red Giants.
Antara pemain tumpuan bagi skuad wanita Selangor ini pastinya Eva Olivianie, Syafiqa Irisya dan pemain senior, Hanis Azizan.
Menurut laman web Selangor FC, skuad wanita Selangor ini dijadualkan bertanding dalam kejohanan FAS Women’s Super League 2024 yang akan bermula pada 3 Februari ini bagi memastikan para pemain berada dalam momentum terbaik.
Sudah pasti musim 2024 ini bakal menjadi permulaan baharu buat skuad wanita Selangor selepas mengakhiri kempen Liga Wanita Nasional 2023 di tangga terakhir.