Legenda Manchester United, Patrice Evra menyifatkan prestasi semasa Arsenal ibarat menonton program Netflix.
Komen bekas bek kiri Perancis itu dinyatakan semasa menjadi tetamu program Rio Ferdinand Presents baru-baru ini.
The Gunners dilihat semakin keciciran mata dalam dua aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL). Pasukan itu tewas mengejut kepada Bournemouth pada awal pagi 20 Oktober.
Ini disusuli aksi menentang Liverpool di Stadium Emirates yang berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat 2-2. Lebih malang, bek tengah Brazil, Gabriel terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.
Apabila diminta mengulas situasi kelab gergasi utara London itu, Evra merasakan pasukan itu tidak akan mampu mencabar kejuaraan liga.
“Menonton Arsenal macam menonton Netflix. Anda selalu perlu menunggu untuk musim seterusnya. Percayalah, setiap musim akan jadi seperti itu jadi jangan terlibat.
“Saya bersikap baik, aman. Sudah tentu, United sekarang ini dalam keadaan yang teruk. Tapi tolonglah jangan bercakap tentang Arsenal kerana anda akan menangis untuk (tarik perhatian) pengadil. Tolonglah,” katanya.
Komen berkenaan mengundang rasa tidak puas hati penyokong Arsenal yang dilihat memperkecilkan keupayaan anak buah Mikel Arteta mencabar liga.
Komen ini timbul tatkala Arsenal bakal menentang Preston North End di Deepdale pada awal pagi 31 Oktober ini aksi Carabao Cup.