Liverpool gagal mara ke pusingan kelima The Emirates FA Cup apabila tewas kepada Plymouth Argyle di Home Park.
The Reds mahu meneruskan momentum selepas mara ke final Piala EFL. Plymouth turut memburu kemenangan selepas menewaskan West Brom dalam Liga Kejohanan.
Bek tengah baru Plymouth, Nikola Katic mengetuai barisan pertahanan tuan rumah. Bintang muda Liverpool, Trey Nyoni kembali mendapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama.
Separuh masa pertama menyaksikan Liverpool terpaksa membuat pertukaran pemain awal pada minit ke-11. Ini selepas Joe Gomez tidak dapat meneruskan perlawanan akibat kecederaan.
Situasi ini mendorong Arne Slot memasukkan Isaac Mabaya sebagai pengganti Gomez. Peranan kapten yang digalasnya sebelum ini diserahkan kepada Diogo Jota.
Percubaan terbaik The Reds hadir pada minit ke-36 menerusi James McConnell. Percubaan pemain tengah berusia 20 tahun itu pantas dinafikan Conor Hazard.
Kesukaran Liverpool menembusi pertahanan The Pilgrims memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Liverpool berusaha mencari gol pembukaan bagi menepati status mereka sebagai pasukan pilihan.
The Reds kemudiannya ditimpa malang apabila pengadil, Sam Barrott memberikan sepakan penalti kepada Plymouth pada minit ke-52. Bola hantaran Darko Gyabi dilihat terkena tangan Harvey Elliott dalam kotak penalti.
Penalti tersebut mudah disempurnakan Ryan Hardie menewaskan penjaga gol Liverpool, Caoimhin Kelleher.
Tersentak, Slot memasukkan Darwin Nunez menggantikan Mabaya untuk menambah sengat di bahagian serangan. Malangnya, gol penyamaan yang dicari Liverpool tidak kunjung tiba.
Keadaan ini memastikan keputusan 1-0 kekal memihak kepada Plymouth sehingga tamat perlawanan. Kekalahan ini sekaligus memusnahkan harapan Liverpool meraih empat trofi untuk musim 2024/25.
Sofascore memilih Katic sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.8. Beliau mengatasi cabaran Hardie yang meraih 7.4 mata.
Selepas ini, Liverpool akan menentang Everton untuk aksi terbaru Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 13 Februari. Plymouth pula akan menentang Milwall pada hari yang sama.