Advertising
Piala EFL: Liverpool Ke Final, Belasah Tottenham Hotspur
MakanBola
Liverpool FC
Sponsors

Liverpool menempah tiket final Piala EFL dengan membelasah kelab utara London, Tottenham Hotspur 4-0 di Anfield.

Spurs berharap dapat mara dengan mempertahankan kelebihan 1-0 yang diraih di Stadium Tottenham Hotspur beberapa minggu sebelumnya. The Reds pula mahu meneruskan momentum selepas menewaskan Bournemouth 2-0.

Ad

Caoimhin Kelleher diberi peluang mengawal gawang Liverpool. Pengurus Tottenham, Ange Postecoglou memberi penampilan pertama buat bek tengah baru mereka, Kevin Danso dalam kesebelasan utama.

Babak pertama menyaksikan Liverpool berusaha meraih gol pendahuluan seawal minit ketujuh menerusi Mohamed Salah. Malangnya, percubaan beliau dinafikan Antonin Kinsky.

Ad

The Reds menyangka mereka telah menyamakan kedudukan agregat 1-1 menerusi Dominik Szboszlai pada minit ke-30. Gol tersebut kemudiannya dibatalkan kerana kesalahan ofsaid.

Ad

Gol yang dicari anak buah Arne Slot akhirnya muncul empat minit selepas itu. Hantaran berbisa Salah pantas disempurnakan Gakpo bagi menjadikan kedudukan agregat 1-1.

Ad

Spurs kemudiannya ditimpa malang apabila Richarlison mengalami kecederaan pada minit akhir permainan. Situasi ini memaksa Postecoglou memberi debut kepada Mathys Tel.

Bersambung pada babak kedua, Liverpool terus memberikan tekanan ke atas Tottenham menerusi gandingan Salah, Gakpo dan Darwin Nunez.

Penyokong The Reds kemudiannya ceria apabila pengadil, Craig Pawson menganugerahkan sepakan penalti. Ini selepas Nunez dijatuhkan Kinsky pada minit ke-49.

Penalti tersebut mudah disempurnakan Salah bagi menjadikan keputusan agregat 2-1. Ini gol ke-26 penyerang Mesir itu dalam semua kejohanan untuk musim 2024/25.

Postecoglou memasukkan Lucas Bergvall dan Pedro Porro pada minit ke-57 dengan harapan dapat mengubah momentum perlawanan kembali memihak kepada Spurs.

Malangnya, apa yang dihajatkan bekas jurulatih Celtic itu tidak berlaku. Sebaliknya, giliran Szoboszlai menambah gol ketiga Liverpool pada minit ke-75.

Kapten Spurs, Son Heung-min hampir merapatkan jurang gol tiga minit selepas itu tetapi percubaannya terkena palang.

Kapten The Reds, Virgil van Dijk melengkapkan malam gemilang tuan rumah dengan gol keempat pada minit ke-80. Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Liverpool mara ke final dengan keputusan agregat 4-1. Mereka akan berdepan Newcastle United di pentas final.

Sofascore memilih Szoboszlai sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.1. Pemain tengah Hungary itu mengatasi cabaran Salah yang meraih 8.7 mata.

Kedua-dua pasukan kini mengalihkan tumpuan kepada saingan The Emirates FA Cup. Liverpool bakal berdepan Plymouth pada 9 Februari dengan Tottenham pula menghadapi cabaran Aston Villa sehari selepas itu.