Aksi pusingan kelima The Emirates FA Cup membabitkan Crystal Palace dan Milwall dicemari dengan insiden tendangan kungfu penjaga gol pelawat, Liam Roberts.
Insiden tersebut berlaku pada minit kelapan perlawanan. Roberts, 30, cuba menghalang Jean-Philippe Mateta daripada menjaringkan gol dengan menendang kepala penyerang Crystal Palace itu.
Pada awalnya, pengadil perlawanan, Michael Oliver tidak melayangkan kad kepada penjaga gol The Lions itu. Keputusan tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati penyokong di Selhurst Park.
Oliver kemudiannya diminta menyemak semula insiden Roberts dan Mateta oleh pegawai VAR, Nick Hopton. Setelah itu, barulah beliau melayangkan kad merah kepada bekas penjaga gol Barnsley itu.
Perlawanan terhenti selama sembilan minit bagi membolehkan pasukan perubatan memberi rawatan kepada Mateta. Setelah itu, bekas penyerang Mainz 05 itu dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Pengerusi Palace, Steve Parish kemudiannya memaklumkan Mateta mengalami luka di bahagian telinga dan kecederaan di bahagian kepala.
Parish turut menyelar tindakan Roberts sebagai tidak bertanggungjawab. Ini kerana pada hemat beliau, terjahan sebegitu cukup merbahaya sepanjang tempohnya menonton aksi bola sepak.
“Setakat ini yang kita tahu (tentang Mateta), ada luka teruk di bahagian telinga dan kecederaan kepala. Beliau kini di hospital dan saya doakan yang terbaik buat beliau,” katanya kepada BBC Sport.
“Kita perlu bercakap tentang terjahan itu (terjahan Roberts terhadap Mateta). Sepanjang tempoh saya menonton bola sepak, saya tak pernah melihat cabaran sebegitu rupa.
“Saya lihat penjaga gol mereka, beliau berusia 30 tahun. Itu satu terjahan yang paling teruk saya pernah saksikan. Saya harap beliau sedar tentang perkara itu kerana beliau membahayakan nyawa pemain lain dengan terjahan sebegitu.
Mateta kemudiannya memaklumkan beliau kini dalam keadaan baik selepas menerima rawatan di hospital.
“Terima kasih semua atas mesej-mesej baik yang dihantar. Saya dalam keadaan baik. Saya harap dapat kembali tidak lama lagi. Dan lebih kuat daripada sebelumnya.
“Tahniah kawan-kawan atas tugas yang cemerlang pada hari ini. Saya sayang anda semua,” katanya menerusi satu mesej yang dikongsikan Palace.
Palace mara ke suku akhir The Emirates FA Cup apabila berjaya menewaskan Millwall 3-1.