Advertisements
Fahmi Fadzil Jamin Masalah KL City Akan Selesai Dalam Tempoh Singkat
Liga Super
MakanBola
Fahmi Fadzil

Penaung kelab Liga Super, KL City FC, Fahmi Fadzil mengumumkan inisiatif lumayan kepada pasukan menjelang sepak mula musim 2024/25.

Menerusi satu pengumuman yang berlangsung di Stadium KLFA, Cheras hari ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memaklumkan sejumlah wang yang besar akan diperuntukkan untuk pasukan itu.

Peruntukan ini akan dibuat selepas berhubung dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.

Meskipun nilai peruntukan itu tidak dinyatakan, Fahmi yang juga penaung The City Boys berjanji akan menyelesaikan isu ini secepat mungkin mengikut proses-proses yang ditetapkan.

Beliau dalam satu kenyataan sebelum ini menyatakan kesediaan untuk membantu pasukan ibu kota itu yang telah kehilangan beberapa tonggak utama.

The City Boys juga menerima tamparan hebat selepas kehilangan beberapa watak penting yang memilih untuk membawa haluan baharu bagi musim 2024/25.

“Ya, Jun lalu saya dilantik sebagai penaung. Beberapa minggu ini, beberapa pihak termasuk KLFA dan KL City FC bertemu dengan saya dan bincangkan beberapa perkara.

“Dan dua hari lalu, saya, Stanley (Bernard) dan Dr. Zaliha (Mustafa, Menteri Wilayah Persekutuan) dan juga Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman (Mat Salleh) mencapai kata putus untuk melakukan beberapa perkara untuk menyegerakan bayaran.

“Saya telah minta Datuk Bandar agar berhubung segera dengan MFL untuk menyatakan komitmen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyelesaikan perkara ini.

“Jadi, Insya Allah dalam masa yang tidak terlalu lama, mengikut proses-proses yang tertentu, kita akan lunaskan apa-apa yang terhutang terutama kepada para pemain.

“Saya ingin nak pastikan KL City dapat bersedia untuk memulakan musim nanti. Dan Insya Allah pada minggu hadapan, saya akan lihat sendiri tahap persediaan para pemain,” katanya kepada media selepas siri ketiga program Teh Hijau Kuala Lumpur yang diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur hari ini.

KL City sebelum ini memaklumkan proses penyelesaian kemelut tunggakan gaji bakal selesai tidak lama lagi.