Masalah kewangan yang membelenggu pasukan KL City mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Yang Berhormat Fahmi Fadzil.
Menerusi satu hantaran di media sosial rasmi YB Menteri, beliau sempat berbincang bersama beberapa figura penting seperti Menteri Wilayah, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City di bangunan Parlimen.
Pertemuan ini bagi membincangkan mengenai situasi semasa kelab bagi menghadapi saingan musim hadapan dan juga beberapa isu berkaitan pengurusan pasukan.
“Semalam di Parlimen saya telah bertemu YB Dr Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Kamarulzaman Mat Salleh, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan En Stanley Bernard, CEO KL City FC untuk membincangkan beberapa perkara berkait pengurusan kelab KL City,” tulis YB Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga penaung kelab turut bersedia membantu The City Boys untuk terus kekal bersaing di saingan Liga Malaysia 2024/2025.
“Pada Jun 2023, saya telah dilantik Penaung KL City. Insya-Allah, kami komited untuk bantu pastikan pasukan bola sepak yang disayangi ini akan dapat terus beroperasi dengan baik,” tambah beliau lagi.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif KL City memberi jaminan masalah tunggakan gaji melibatkan para pemain akan diselesai dalam kadar segera.
Pada petang Jumaat, para peminat KL City menerima perkhabaran sedih setelah kehilangan khidmat ketua jurulatih, Nenad Bacina yang mengumumkan perpisahan bersama kelab itu.