Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menjadi individu kedua yang menawarkan diri untuk menjadi calon Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
Perkara itu dinyatakan dalam satu hantaran video di akaun TikTok peribadi miliknya pada 22 Ogos lalu.
Fahmi berbuat demikian kerana percaya bukan saja dapat membantu tadbir urus KLFA menjadi lebih baik. Malah, beliau melihat ini akan membantu kemajuan bola sepak di Wilayah Persekutuan itu.
“Saya dengan ini mengumumkan ingin menawarkan diri sebagai calon Presiden KLFA. Harapan besar saya ialah ingin memartabatkan kelab-kelab gabungan dan memastikan KLFA diuruskan dengan lebih baik serta lebih mapan supaya bola sepak di Kuala Lumpur lebih maju,” katanya.
Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad turut menawarkan diri bertanding sebagai calon Presiden KLFA.
Menerusi pengumuman ini, Fahmi bakal bersaing dengan Nik Nazmi untuk merebut jawatan nombor satu dalam badan induk bola sepak Kuala Lumpur itu.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut mengumumkan barisan figura dalam pasukannya untuk merebut jawatan dalam Kongres KLFA yang akan berlangsung pada 7 September ini.
Naib Presiden KLFA merangkap pengarah KL United FC Sdn Bhd, Syed Yazid Syed Omar diumumkan sebagai calon merebut jawatan Timbalan Presiden.
Sementara Datuk Kamarudin Hassan, Datuk Ramlan Askolani, Datuk Azman Abidin dan Datuk Mohd Razlan Rafii diumumkan sebagai calon Naib Presiden.
Kamarudin dan Ramlan bukan asing dalam kalangan peminat bola sepak negara kerana pernah mewarnai arena bola sepak Kuala Lumpur satu ketika dahulu.