Pemain sayap pasukan Selangor FC, Faisal Halim memberi khabar gembira apabial disahkan kini sudah boleh berjalan.
Tonggak penting Harimau Malaya itu menjadi mangsa serangan asid oleh individu yang tidak dikenali beberapa hari lalu sehingga ditempat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Faisal telah menjalani beberapa pembedahan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Perkembangan terbaru dikongsikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar memberitahu bahawa Faisal kini sudah boleh berjalan.
“Alhamdulillah pagi ini saya diberitahu bahawa Faisal Halim semakin ceria.
“Apa yang lebih menyeronokkan adalah apabila beliau kini sudah mula berjalan dalam bilik (hospital) dan sudah pun boleh ke bilik air,” jelasnya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Faisal bagaimanapun perlu berehat sekitar 3-6 bulan untuk proses pemulihan dengan Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair, beliau berkata bahawa pemulihan Faisal bakal memasuki fasa baharu iaitu penukaran balutan luka merupakan proses standard yang perlu dijalankan sebagai langkah untuk menjaga luka.
“Kita mengadakan perbincangan dengan pakar bedah pada setiap hari dan kita tengok ‘mood’ Faisal semakin baik. Itu yang kita harapkan kerana ini penanda aras terbaik mengenai tahap psikologinya.
“Apa yang penting adalah dia semakin ceria dan itu bermaksud perkembangan itu sangat positif,” kata Hazwan ketika ditemui media di perkarangan hospital tempat Faisal Halim dirawat.