Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim terus mendapat suntikan semangat apabila menerima sumbangan ikhlas daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sumbangan itu disampaikan sendiri Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin kepada Faisal di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 29 Ogos lalu.
Pemain sayap berusia 26 tahun itu mengakui tersentuh dengan keprihatinan Hamidin dan FAM dalam menjaga kebajikan pemain skuad kebangsaan termasuk dirinya.
Sumbangan ini dijangka menyemarakkan lagi semangat Faisal untuk membina kembali prestasinya di atas padang. Ini kerana itu merupakan kunci buat beliau jika ingin kembali mewakili Harimau Malaya.
“Terima kasih kepada FAM khususnya Presiden, Datuk Haji Hamidin atas pemberian sumbangan ikhlas kepada saya pada pertemuan di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang semalam.
“Saya berasa cukup terharu dengan keprihatinan Datuk Haji Hamidin dan FAM yang sentiasa menjaga kebajikan para pemain Harimau Malaya.
“Besar maknanya sumbangan yang saya terima ini kerana ia menjadikan saya lebih bermotivasi dan bersemangat untuk kembali pulih dan dapat beraksi semula bersama skuad Harimau Malaya,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Faisal turut menerima kejutan apabila dibawa Hamidin meninjau sesi latihan pertama Harimau Malaya yang bermula pada hari sama.
Majoriti pemain sudah menyertai kem Harimau Malaya kecuali bek tengah Buriram United, Dion Cools. Cools dijangka menyertai kem negara pada 2 September ini selepas menyelesaikan komitmen perlawanan bersama kelabnya.