Susulan prestasi kurang memberangsangkan Negeri Sembilan FC untuk musim 2023, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) mengumumkan rombakan ke atas struktur pengurusan pasukan itu.
Semalam, PBNS mengumumkan Setiausaha Eksekutif PBNS, Faliq Firdaus sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan yang baru.
Beliau dibawa masuk menggantikan CEO pasukan sebelumnya, Satwant Singh. Perlantikan ini menjadikan Faliq sebagai CEO termuda dalam kalangan pasukan Liga Super.
Pemilihan nama beliau dibuat dengan mengambil kira pengalaman dan latar belakangnya dalam bidang pemasaran sukan.
“Bagi mengetuai inisiatif ini, sukacita dimaklumkan bahawa Setiausaha Eksekutif PBNS, Faliq Firdaus telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif NSFC yang baharu.
“Berpengalaman di dalam sektor pemasaran sukan, Faliq merupakan Bendahari Persatuan Pengurusan Industri Sukan Malaysia (PRISM) dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Media &
“Komunikasi Program Pembangunan Bola Sepak Negara di Majlis Sukan Negara dan Pengurus di Malaysian Grassroots League (MGL),” kata PBNS dalam satu kenyataan di Facebook.
Sebaik pengumuman ini dibuat, ramai peminat bola sepak Negeri Sembilan mengucapkan tahniah kepada beliau di media sosial.
Ramai mengharapkan sentuhan Faliq mampu mengembalikan semula kegemilangan pasukan itu satu ketika dahulu.
Selain pemilihan CEO baru, PBNS turut mengumumkan pembentukan satu jawatankuasa pemilihan bagi mencari ketua jurulatih Negeri Sembilan yang baru.
Jawatankuasa ini bakal terdiri daripada kepimpinan tertinggi PBNS dan pengurusan baru skuad Rusa. Keputusan siapa jurulatih baru pasukan itu akan diumumkan dalam masa terdekat.