Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi bayangan bahawa revolusi Harimau Malaya bakal berlaku tidak lama lagi.
Baru-baru ini, Presiden FAM iaitu Tan Sri Dato’ Hamidin Mohd Amin telah memaklumkan bahawa beliau tidak akan bertanding bagi jawatan kongres sesi 2025-2029 yang bakal berlangsung awal tahun hadapan.
“Jawatankuasa Eksekutif telah dimaklumkan oleh Tan Sri Dato’ Haji Hamidin bahawa beliau secara rasminya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden FAM pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal baharu 2025-2029 yang akan diadakan pada Kongres Tahunan FAM Ke-61 2025 untuk memberi ruang kepada ahli-ahli gabungan memilih presiden yang baharu.
“Tan Sri Dato’ Haji Hamidin telah dipilih sebagai Presiden FAM bagi penggal 2018-2021 pada Kongres FAM Ke-54 pada 14 Julai 2018 dan seterusnya mengekalkan jawatannya itu buat penggal kedua iaitu 2021-2025 selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM Ke-57 pada 13 Mac 2021,” jelas kenyataan FAM.
Bukan itu sahaja, pengumuman itu disusuli oleh satu lagi perkara mengejutkan apabila pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengesahkan bahawa tugasan Piala Mitshubishi Electric ASEAN adalah tugasan terakhirnya bersama pasukan kebangsaan.
“Saya ingin memaklumkan bahawa Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 akan menjadi tugasan terakhir saya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.
“Keputusan ini dibuat susulan komunikasi dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berhubung penstrukturan semula Pengurusan Pasukan Kebangsaan.
“Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula ini, ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang baharu akan dilantik untuk kempen Kelayakan Piala Asia 2027 mulai tahun depan,” katanya.
Hal ini memberi bayangan bahawa revolusi Harimau Malaya bakal berlaku tidak lama lagi tatkala sebelum ini DYAM Tunku Ismail pernah memberi gambaran awal organisasi baharu yang bakal dilantik.
Terdapat beberapa individu yang telah dikaitkan untuk menyertai revolusi tersebut termasuklah Pengarah Teknikal Qatar FA, Tim Cahill dengan beberapa nama seperti Nafuzi Zain, Tano Solari yang digembar-gemburkan bakal mempimpin barisan kejurulatihan negara.
Setakat ini, masih tiada pengumuman rasmi berhubung status mana-mana individu yang dikaitkan ini sama ada dari FAM mahupun individu tersebut.