Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima keputusan berkuat kuasa daripada Court of Arbitration for Sport (CAS) berhubung rayuan yang difailkan oleh badan induk itu bersama tujuh pemain yang terlibat dalam kes kelayakan pemain sebelum ini.
Menurut FAM, rayuan yang dikemukakan oleh badan induk bola sepak negara itu telah ditolak oleh CAS. Pada masa sama, rayuan yang difailkan oleh para pemain pula diterima sebahagiannya dengan hukuman yang dikenakan dipinda, namun mereka masih tidak dibenarkan beraksi dalam perlawanan rasmi untuk tempoh lapan bulan lagi.
FAM turut memaklumkan bahawa alasan penuh keputusan tersebut masih belum dikeluarkan oleh CAS dan sebarang ulasan lanjut mengenai merit keputusan berkenaan hanya akan dibuat selepas butiran lengkap keputusan itu diterima dan diteliti.
“Rayuan FAM telah ditolak. Rayuan para pemain pula telah diterima sebahagiannya, dengan hukuman mereka dipinda, namun mereka masih tidak dibenarkan bermain selama lapan bulan lagi. Alasan penuh bagi keputusan tersebut masih belum dikeluarkan, dan sebarang ulasan lanjut mengenai merit keputusan itu akan dibuat selepas butiran penuh keputusan tersebut diteliti.”
Dalam kenyataan sama, FAM menegaskan bahawa pihaknya menghormati bidang kuasa CAS sebagai badan timbang tara tertinggi dalam sukan. Namun begitu, badan induk itu berpendapat hukuman yang dikenakan kelihatan tidak seimbang jika dibandingkan dengan beberapa kes lain yang pernah diputuskan sebelum ini.
“FAM menghormati bidang kuasa CAS, namun FAM berpendapat bahawa hukuman yang dikenakan kelihatan tidak seimbang, terutamanya apabila dibandingkan dengan hukuman dalam kes-kes serupa yang pernah diputuskan oleh CAS. FAM akan menilai perkara ini dengan lebih lanjut setelah keputusan penuh diperoleh.”
Sepanjang prosiding kes ini berlangsung, FAM turut mengakui tanggungjawab berhubung kegagalan penyeliaan yang berlaku sebelum ini. Pada masa sama, siasatan yang dijalankan oleh agensi kerajaan di Malaysia serta Fédération Internationale de Football Association (FIFA) masih berjalan dan FAM menegaskan komitmen untuk memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa berkaitan.
“Sepanjang prosiding ini, FAM telah menerima tanggungjawab atas kegagalan penyelian yang berlaku. Siasatan oleh agensi kerajaan di Malaysia serta FIFA masih sedang berjalan. FAM akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak berkuasa yang berkaitan.”
FAM dalam masa sama menyifatkan keputusan tersebut sebagai sesuatu yang mengecewakan, khususnya kepada para pemain yang terlibat dalam kes berkenaan.
“Keputusan ini amat mengecewakan, khususnya bagi para pemain. Mereka tidak terlibat dalam proses pentadbiran dan tidak mempunyai pengetahuan mengenai perkara-perkara berkaitan pentadbiran. Para pemain tersebut adalah warganegara Malaysia yang telah dianugerahkan kewarganegaraan mengikut peruntukan undang-undang di Malaysia.”
Mengakhiri kenyataan tersebut, FAM turut merakamkan penghargaan kepada para penyokong atas sokongan berterusan yang diberikan sepanjang tempoh sukar ini, sambil menegaskan bahawa pasukan kebangsaan kekal fokus terhadap objektifnya untuk terus memajukan bola sepak negara.
“FAM ingin mengucapkan terima kasih kepada para penyokong atas sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh yang sukar ini. Pasukan kebangsaan kekal fokus terhadap objektifnya dan akan terus berusaha keras demi bola sepak Malaysia.”