Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) difahamkan telah menghubungi ejen kepada seorang pemain di England.
Perkara ini dinyatakan oleh laman Frfuturetalents mengenai usaha yang dilakukan oleh FAM bagi mengenal pasti bakal pemain warisan negara.
Baru-baru ini, Presiden FAM iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan bahawa skuad negara bakal diperkuat dengan kehadiran tonggak Amerika-Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal.
Beliau turut mengesahkan bahawa Harimau Malaya berpotensi untuk menerima kehadiran kapten Go Ahead Eagles, Mats Deijl yang kini dalam fasa akhir rundingan.
Usaha giat FAM ini memberikan gambaran bahawa lebih ramai lagi pemain warisan berkualiti tinggi bakal memperkuat Harimau Malaya.
“Ada seorang pemain di England telah dihubungi oleh FAM melalui ejennya,” ujar laman Frfuturetalents.
Usaha laman tersebut menjejaki bakat warisan di luar negara telah membuahkan hasil apabila nama-nama seperti Kaveen Waran, Daniel Pesenti, Kim Johan dan terbaru Mats Deijl mula dirisik oleh FAM.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi berkenaan khabar pemain warisan dari England daripada pihak FAM.