FAM Tunggu Kajian AFC Terhadap AMD & NFDP
MakanBola
NFDP

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu menunggu terlebih dahulu hasil kajian berkenaan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP).

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meminta Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menilai semula keberkesanan NFDP.

Penilaian tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk membangunkan bola sepak negara. Ini termasuk penyaluran dana sebanyak RM15 juta untuk Harimau Malaya.

“KBS akan mendapatkan khidmat bantuan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk melakukan penilaian semula keberkesanan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) yang dikendalikan Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) supaya penambahbaikan boleh dilakukan,” katanya di Facebook.

Kini, Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram memaklumkan badan induk itu bersetuju dengan gagasan Hannah. Atas sebab itu, FAM mahu menunggu dapatan kajian terlebih dahulu berkenaan AMD dan NFPP.

“Hasil daripada kajian dan dapatan yang dilakukan pihak AFC, selepas itu barulah kita akan melihat tentang pendekatan dan kesesuaian NFDP dan AMD sama ada perlu distruktur semula atau mengambil apa-apa tindakan yang bersesuaian.

“Jadi, pihak FAM dan KBS menunggu hasil daripada kajian tersebut,” katanya.

Isu AMD dan NFDP timbul selepas skuad Malaysia Bawah 17 Tahun (B-17) gagal layak ke Piala Asia B-17 2025 baru-baru ini.

Kegagalan itu turut menyebabkan pengurus skuad Malaysia B-17, Christopher Raj memilih meletak jawatan. Keputusan itu dibuat atas dasar tanggungjawab selepas pasukan tersebut gagal layak ke peringkat Asia.