Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui merasa hairan dengan prestasi berbeza pasukan itu dalam saingan Liga Super dan Unifi Piala Malaysia.
Luahan itu dibuat selepas melihat Tok Gajah tewas kepada Kuching City FC 2-0 di Temerloh baru-baru ini.
Jurulatih Singapura itu merasa hairan kerana Sri Pahang masih belum tewas dalam saingan Unifi Piala Malaysia. Berbeza dalam saingan liga, Tok Gajah masih tercari-cari kemenangan pertama untuk tahun 2025.
“Kita peliknya bila main di liga lain, main di Piala Malaysia lain. Jadi, bila dalam Piala Malaysia, motivasi (pasukan itu) tinggi,” katanya kepada media selepas perlawanan.
“Kemahuan ada, disiplin ada, kerjasama pun bagus. Mereka selalu bercakap sesama pemain. Tetapi pada hari ini, tiada orang yang bantu-membantu.”
Keputusan ini menyebabkan Tok Gajah kekal berada di kedudukan ke-11 liga dengan 17 mata. Selepas ini, Sri Pahang bakal berdepan satu lagi aksi sukar.
Ini kerana mereka akan menentang juara MFL Challenge Cup 2023, PDRM FC. Tok Gajah berharap dapat mengulangi kemenangan 5-1 ke atas lawan sama pada 15 September 2024.