Advertisements
Fazrul Amir Ganti Mukhairi Ajmal Buat Harimau Malaya
Harimau Malaya
MakanBola
Kelantan Darul Naim FC

Pemain sayap Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Fazrul Amir Md. Zaman sah menyertai kem latihan Harimau Malaya.

Sebelum ini, nama pemain sayap berusia 24 tahun itu diletakkan dalam senarai pemain bersedia untuk kem Harimau Malaya bersama sembilan pemain lain. Ini sebagai persediaan seandainya ada situasi kecederaan yang menimpa 26 pemain yang dipanggil Pau Marti Vicente.

Kini, nama Fazrul dan pemain tengah KL City FC, Zhafri Yahya dipanggil jurulatih Sepanyol itu menyertai kem berkenaan. Ini susulan Natxo Insa dan Mukhairi Ajmal Mahadi terpaksa menarik diri akibat masalah kecederaan.

Ini menjadikan Fazrul sebagai pemain pasukan Kelantan pertama yang menyertai kem Harimau Malaya sejak Shafiq Shaharudin pada 2018. Ini sekaligus merealisasikan impian Fazrul yang mahu menyarung jersi berkenaan.

Perkara ini pernah dinyatakan beliau kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi selepas tamat aksi Sri Pahang FC menentang Kelantan DN pada Mei lalu.

“Sasaran saya pada tahun ini, banyak menjaringkan gol dan dapat panggilan ke skuad kebangsaan,” katanya.

Sekiranya Pau Marti memberi peluang buat Fazrul membuat penampilan pertama dalam aksi menentang Laos atau India, beliau akan mengikut jejak Shafiq.

Penyerang berusia 30 tahun itu diberi peluang membuat penampilan pertama oleh jurulatih Harimau Malaya pada ketika itu, Tan Cheng Hoe untuk aksi menentang Fiji pada 5 Julai 2018.

Shafiq masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-26 menggantikan Syafiq Ahmad yang mengalami kecederaan.

Skuad negara meraih kemenangan tipis 1-0 menerusi gol Syafiq selepas menyudahkan hantaran Syazwan Zainon.