Fergus Tierney Korban Rindu Demi Karier
MakanBola
PAC Omonia 29M

Penyerang muda Malaysia, Fergus Tierney mengakui terpaksa mengorbankan rasa rindu kepada keluarga di tanah air demi menjadi pemain bola sepak yang lebih baik.

Perkara itu dinyatakan bekas penyerang Sabah FC itu apabila ditanya tentang perkara yang dirindui beliau sejak menyertai kelab divisyen dua Cyprus, PAC Omonia 29M.

Tierney mengakui merindui banyak perkara termasuk keluarga dan rakan-rakan di Malaysia. Pada masa sama, beliau juga melihat ini satu pengorbanan demi mengembangkan karier bola sepaknya ke tahap berbeza.

“Saya rindu sangat dekat Malaysia. Keluarga, kawan-kawan, ada banyak perkara yang saya rindui. Tapi saya ada dekat sini untuk menjadi pemain yang lebih baik,” katanya dalam satu video kelab berkenaan.

Tierney mengakui dapat menyesuaikan diri di Cyprus. Hal ini kerana beliau tidak berdepan halangan bahasa dan banyak berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

“Syukur semua orang boleh bercakap dalam Bahasa Inggeris. Tiada siapa boleh bercakap Bahasa Melayu tetapi saya boleh bercakap sedikit dalam Bahasa Sepanyol dan Bahasa Portugal dengan pemain Latin dan Cyprus.

“Mereka amat mengalu-alukan saya dan semuanya berjalan lancar. Jika saya perlukan apa-apa, ada orang akan membantu dan ya, saya amat bersyukur. Saya tahu kita akan jadi lebih rapat sebagai rakan sepasukan apabila musim berlangsung,” tambahnya.

PAC Omonia 29M dan Tierney akan membuka kempen liga dengan menentang Digenis Ipsona pada 29 Ogos ini.