Dalam satu semakan yang dibuat di laman web Transfermarkt.com, tonggak baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri dilihat mengungguli carta pemain paling mahal, jauh meninggalkan nilai pemain-pemain lain di Liga M.
Pemain yang berusia 31 tahun itu mencatatkan nilai pasaran pada tanda harga 900,000 euro, bersamaan dengan RM4.3 juta. ‘Saham’ bekas pemain Udinese itu berada pada kedudukan pertama dalam saingan liga bola sepak tempatan.
Forestieri yang baru sahaja melengkapkan perpindahanya ke JDT dijangka bakal memberi satu fenomena kepada Liga M. Saingan Liga Super pastinya rancak apabila disajikan dengan aksi-aksi memukau Forestieri.
Dalam pada itu, menurut Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah, tanda harga yang dipaparkan di laman web antarabangsa itu hanyalah anggaran semata, boleh jadi ia rendah daripada itu.
“Mungkin boleh cecah AS$1 juta gajinya untuk setahun di JDT. Tetapi itu hanyalah anggaran saja, mungkin nilai itu kurang lagi kerana banyak faktor lain.”
Effendi juga senada dengan beberapa penyokong Harimau Selatan yang melihat corak permainan Forestieri ini seakan-akan bekas pemain JDT, Pereyra Diaz. Effendi turut menganggap tidak sukar buat Forestieri untuk melepasi benteng pertahanan Liga M.
“Kalau ikut pada gaya permainannya ramai kata macam bekas pemain JDT, Jorge Pereyra Diaz. Saya lihat serangan JDT akan lebih tajam dan senang-senang dia (Forestieri) boleh atasi pertahanan di Liga M,” katanya kepada Arena Metro.