FIFA ASEAN Cup: “Ibarat Suka & Duka” – Tan Cheng Hoe
MakanBola
FAM

Jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tampak sugul namun berusaha untuk kekal positif setelah Malaysia terlepas tiket ke final FIFA ASEAN Cup 2026 walaupun membelasah Singapura pada Khamis.

Malaysia menutup kempen Kumpulan A FIFA ASEAN Cup 2026 dengan kemenangan bergaya 6-0 ke atas Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, sebentar tadi.

Namun, kemenangan besar tersebut masih belum cukup untuk membawa Harimau Malaya ke pentas final selepas Malaysia terpaksa akur dengan Indonesia yang muncul juara kumpulan berdasarkan kelebihan jumlah jaringan.

Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, tetap memberikan pujian terhadap komitmen yang ditampilkan anak buahnya sepanjang perlawanan menentang Singapura.

Menurut beliau, para pemain menunjukkan satu persembahan yang cukup baik dengan setiap pergerakan dilakukan penuh komitmen selain mempamerkan pengalaman serta penyudah yang berkualiti.

“Jika kita lihat, pemain kami menunjukkan satu permainan yang cukup-cukup baik.”

“Yang begitu komited setiap pergerakan, begitu baik dari segi kawalan bola dan juga penyudah yang begitu baik.”

Tan Cheng Hoe bagaimanapun mengakui bola sepak menyaksikan pelbagai perkara boleh berlaku selepas kemenangan besar itu tetap tidak mampu mengubah kedudukan Malaysia untuk mara ke final.

Beliau menyifatkan situasi tersebut sebagai ibarat suka dan duka, namun menegaskan pasukan perlu terus memandang ke hadapan dengan pemikiran yang positif.

“Tetapi, dalam bola sepak, perkara ini telah berlaku. Jadi, ini ibarat suka dan duka,” ujar Tan Cheng Hoe selepas perlawanan.

“Dan tentu saja, kita perlu teruskan perjalanan kami dan berfikir positif.”

Malaysia menamatkan saingan Kumpulan A dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri daripada tiga perlawanan.

Bagaimanapun, Indonesia turut mengumpul tujuh mata dan berada di kedudukan teratas kumpulan selepas memiliki jumlah jaringan yang lebih baik berbanding Harimau Malaya.

Kemenangan 6-0 ke atas Singapura menjadi penutup kempen Malaysia, namun keputusan tersebut masih belum mencukupi untuk mengatasi kelebihan jaringan Indonesia bagi merebut tiket ke final FIFA ASEAN Cup 2026.