FIFA Didakwa Gagal Siasat Presiden FA Cameroon
MakanBola
FECAFOOT

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kini berdepan dakwaan gagal menyiasat salah laku membabitkan Presiden Persekutuan Bola Sepak Cameroon (FECAFOOT), Samuel Eto’o.

Wartawan sukan The Times, Martyn Ziegler melaporkan legenda Barcelona itu didakwa menyeleweng wang hampir €500,000 (RM2.4 juta).

Wang tersebut merupakan bayaran daripada Russia susulan aksi persahabatan antara kedua-dua pasukan itu pada 2023. Wang itu didakwa telah dipindahkan ke akaun peribadi Eto’o di Qatar tetapi tidak pernah dipindahkan ke akaun rasmi FECAFOOT.

Perkara ini kemudiannya diadukan oleh bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FECAFOOT, Gibril Gatama kepada Jawatankuasa Etika FIFA pada tahun lalu.

Gatama memaklumkan mengikut statut badan induk bola sepak Cameroon itu, semua dana yang diterima atas nama FECAFOOT perlu disalurkan kepada akaun rasmi badan itu.

Beliau mendakwa tindakan FIFA berdiam diri berhubung aduan salah laku membabitkan Eto’o itu sebagai tanda sokongan ke atasnya. Ini ditambah dengan hubungan baik bekas penyerang Chelsea itu dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Malah, Eto’o juga merupakan antara penyokong skim menjual pegangan Piala Dunia yang direncana Infantino sebelum dibatalkan pada Ogos lalu.

Namanya tersenarai dalam kenyataan pembelaan FIFA terhadap saman yang dikemukakan Kesatuan Eropah (EU) di Amerika Syarikat (US) pada minggu lalu.

Jurucakap FIFA dalam satu kenyataan memaklumkan Presiden FIFA tidak pernah memberi sebarang tekanan terhadap jawatankuasa etika FIFA dan menganggap tuduhan tersebut tidak berasas.

Dakwaan ini berpotensi mencetuskan satu lagi keributan terhadap kedudukan Infantino selaku Presiden FIFA. Sebelum ini, arena bola sepak antarabangsa dikejutkan pendedahan skandal yang membelenggu FIFA dan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA).

Antara salah laku yang didedahkan wartwan Perancis, Romain Molina ialah skandal dana AFA dan dakwaan beberapa pegawai badan induk itu dilindungi FIFA daripada siasatan salah laku.