Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berdepan cabaran hebat susulan pendedahan wartawan penyiasat terkenal dari Perancis, Romain Molina.
Ini kerana Molina mendakwa skandal dana sebanyak €260 juta (RM1.3 bilion) yang kini dihadapi AFA hanyalah sekelumit daripada pelbagai isu salah laku yang didakwa membelenggu badan induk berkenaan.
Malah, Molina mendakwa sesetengah salah laku itu juga cuba dilindugi FIFA. Ini susulan dakwaan wujud hubungan rapat beberapa pegawai AFA dengan pengarah perundangan FIFA, Emilio Garcia.
Salah satu isu yang dikesan wartawan Perancis itu ialah kes membabitkan jurulatih Argentina, Diego Guacci. Nama Guacci mula menjadi bualan kerana didakwa melakukan gangguan seksual dan tingkah laku yang tidak sopan terhadap lima pemain wanita pada 2021.
Meskipun begitu, figura itu tidak dihukum Jawatankuasa Etika dan Disiplin FIFA pada 2022 atas alasan tidak cukup bukti. Kes itu mencetuskan rasa tidak puas hati Kesatuan Pemain Bola Sepak Profesional Antarabangsa (FIFPro).
Ini kerana keputusan yang dibuat panel jawatankuasa tidak mengandungi kepelbagaian ahli untuk membuat keputusan. Selain itu, FIFPro menyifatkan keputusan dibuat tanpa sebarang salinan diserahkan kepada badan itu atau pengadu.
Ini ditambah dengan pendedahan identiti semua pemain yang terlibat meskipun FIFA telah memberi jaminan perlindungan kepada pengadu kes berkenaan.
Molina turut melihat kes skandal dana €260 juta (RM1.3 bilion) sebenarnya jauh lebih signifkan. Ini kerana siasatan beliau mendapati syarikat TourProdEnter LLC telah memeterai perjanjian dengan AFA sebagai ejen pengutip wang setiap perjanjian badan induk itu beberapa hari sebelum final Piala Dunia 2022.
Ini termasuk duit hadiah kemenangan Piala Dunia yang sepatutnya diterima AFA tetapi dibayar FIFA kepada syarikat berkenaan. Dana tersebut kemudiannya dipindahkan ke syarikat-syarikat palsu yang ditubuhkan di kawasan perlindungan cukai seperti British Virgin Islands dan Cayman Islands.
Molina melaporkan sesetengah individu yang menerima wang tersebut bukan saja mengubah maklumat komunikasi tetapi juga lebih kaya. Wang tersebut dikatakan digunakan untuk membiayai kehidupan mewah figura-figura yang terlibat termasuk kereta mewah dan jet peribadi.
Malah, Molina juga percaya sebahagian daripada dana yang diambil TourProdEnter turut digunakan untuk mengambil alih kelab Itali, Perugia pada 2024.
Wartawan Perancis itu turut memaklumkan mana-mana individu yang cuba menyiasat skandal berkenaan akan berdepan tekanan termasuk ugutan dan kempen fitnah.
Skandal ini berpotensi menjejaskan peluang Infantino dipilih semula sebagai Presiden FIFA untuk penggal berikutnya.
Ini ditambah dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) kini melancarkan siasatan terhadap AFA termasuk Presiden, Claudio Tapia. Ini kerana siasatan mereka yang membawa kepada usaha mengesan pergerakan dana berjumlah €260 juta (RM1.3 bilion).
FBI juga tidak menolak untuk meminta bekas pegawai kerajaan yang pernah berkhidmat untuk Presiden Argentina, Javier Milei memberi keterangan. Ini selepas kerajaan negara itu turut menyiasat AFA pada 2024 atas dakwaan isu salah laku.