Advertisements
FIFA Kongsi Cerita Umar Eshmurodov, Selangor & Liga Malaysia
Liga Super
MakanBola
Selangor FC

Kisah bek tengah Selangor FC, Umarbek Eshmurodov menjadi sebutan portal FIFA.com baru-baru ini.

Selepas berhijrah menyertai Selangor dari kelab lamanya, FC Nasaf, bek tengah berusia 31 tahun itu terus menjadi pilihan di bahagian pertahanan.

Meskipun perlu bersaing dengan pemain-pemain lain termasuk kapten, Safuwan Baharudin, Umarbek berjaya merekodkan 16 penampilan dalam semua kejohanan termasuk Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Bila ditanya tentang keutamaannya ketika ini, beliau berharap dapat memberi segala-galanya bukan saja kepada Selangor dan Uzbekistan. Malah, Umarbek berharap dapat meningkatkan mutu permainannya agar menjadi pemain yang lebih baik.

“Saya percaya saya telah menunjukkan perkembangan sebagai pemain dan saya berusaha untuk meningkatkan prestasi saya setiap hari.

“Saya berhasrat untuk menjadikan latihan saya sebaik mungkin supaya saya terus menjadi lebih baik. Keutamaan saya adalah melakukan semua yang saya boleh untuk kedua-dua pasukan dan permainan saya sendiri.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar di Selangor. Pasukan ini mempunyai ramai pemain muda dan saya berusaha untuk menyokong mereka dan membantu pasukan maju. Saya suka berkongsi pengetahuan saya (dengan mereka),” katanya kepada portal berkenaan.

Umarbek dan Uzbekistan kecewa apabila tewas 3-2 kepada Qatar dalam aksi terbaru kelayakan Piala Dunia 2026 di Qatar baru-baru ini. Gol lewat Lucas Mendes memastikan juara Piala Asia 2023 itu meraih tiga mata.

Kini, The White Wolves berdepan satu lagi cabaran apabila menentang Korea Utara di Laos pada 19 November ini. Meskipun usaha kelayakan mereka ke Piala Dunia 2026 berdepan cabaran, Umarbek berharap dapat merealisasikan matlamat tersebut.

“Matlamat saya bersama skuad kebangsaan Uzbekistan ialah membantu kita layak ke Piala Dunia dan memberikan sesuatu yang boleh diraikan warga kita. Saya akan berikan segala-galanya yang saya ada kerana ia cukup bermakna buat kita semua,” tambahnya.

Kudrat Umarbek bakal ditagih Merah Kuning untuk aksi pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC.

Aksi pertama bakal berlangsung di Temerloh pada 23 November. Manakala aksi timbal balik bakal berlangsung di Stadium MBPJ pada 1 Disember.