Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengemukakan usul aksi antara Palestin dan Israel sebagai sebahagian daripada kejohanan bola sepak Bawah 15 Tahun (B-15) anjuran badan induk tersebut.
Akhbar The Guardian melaporkan idea tersebut dicadangkan Presiden FIFA, Gianni Infantino. Beliau melihat idea ini sebahagian daripada usahanya menjadikan bola sepak sebagai alat penyatuan dan perdamaian.
Maklumat tentang kejohanan itu masih lagi kabur. Meskipun begitu, kejohanan tersebut dijangka akan diadakan di Miami, Amerika Syarikat (US).
Selain itu, kejohanan itu juga akan dibuka kepada semua 211 ahli gabungan FIFA termasuk Russia. Russia masih lagi digantung FIFA susulan tindakan negara itu menceroboh Ukraine pada 2022.
Meskipun begitu, idea ini berpotensi ditolak Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA). Ini kerana pada hemat PFA, Israel dilihat mencabuli hak dan menentang perjuangan rakyat Palestin membentuk sebuah negara merdeka.
Malah, sebab ini juga yang mendorong Presiden PFA, Jibril Rajoub menolak untuk bersalaman dengan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Israel (IFA), Basim Sheikh Suliman dalam Kongres FIFA Ke-76.
Infantino berusaha memujuk Rajoub untuk mengubah fikiran berhubung keputusannya itu. Walau bagaimanapun, Presiden PFA itu tetap menolak dan memilih meninggalkan pentas.
Satu lagi sebab yang dijangka mempengaruhi keputusan PFA ialah isu imigresen. Ini kerana Rajoub tidak dapat masuk ke US untuk Piala Dunia 2026 kerana tidak diberi visa oleh kerajaan kedua-dua negara.
Presiden PFA itu senasib dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas. Abbas yang sepatutnya menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada September tahun lalu tidak dapat berbuat demikian kerana US membatalkan visa beliau.