Selepas kelibat Frank Lampard dilihat di Stamford Bridge tempoh hari, ramai berspekulasi penjaring gol terbanyak Chelsea itu akan kembali menjadi pengurus kelab berkenaan. Hari ini, Blues mengesahkan perlantikan Lampard sebagai jurulatih sehingga akhir musim ini.
Lampard, 44, mengambil alih kerusi panas Stamford Bridge selepas Graham Potter dipecat susulan prestasi tidak memberangsangkan pasukan dalam liga. Beliau akan dibantu oleh Ashley Cole dan Paul Clement untuk memantau pasukan senior Blues.
Perlantikan ini dibuat secara jangka pendek bagi membantu Blues menamatkan musim tanpa sebarang masalah. Ini juga memberi peluang kepada duo pengarah sukan, Laurence Stewart dan Paul Winstanley membantu pemilik Todd Boehly untuk mencari jurulatih baru Chelsea untuk tempoh jangka panjang.
Bekas pengurus Derby County itu sebelum ini dipecat oleh Everton pada Januari lepas susulan prestasi buruk Toffees dalam Liga Perdana Inggeris (EPL). Lampard pernah menguruskan Chelsea dari Julai 2019 hingga Januari 2021.
Semasa tempoh tersebut, legenda England itu berdepan tugas mencabar menguruskan Blues yang dikenakan sekatan perpindahan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ketika itu. Tetapi Lampard berupaya membimbing meraih tempat keempat EPL dan bergelar naib juara The Emirates FA Cup musim 2019-2020.
Musim berikutnya, beliau membelanjakan sejumlah £200 juta (RM1.1 bilion) untuk tujuh pemain termasuk Kai Havertz, Ben Chilwell dan Thiago Silva. Ironinya, majoriti pemain yang didapatkan Lampard masih kekal di Stamford Bridge.
Begitupun, prestasi kurang memberangsangkan Chelsea pada musim 2020-2021 memaksa pemilik Chelsea ketika itu, Roman Abramovich memecat penjaring gol legenda mereka itu.
Lampard dijangka akan memimpin Chelsea untuk perlawanan menentang Wolverhampton Wanderers yang berlangsung di Molineux pada Sabtu ini.