Jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain percaya pemain baharu pasukan itu, G. Pavithran masih memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dan memberi impak dalam perlawanan.
Pandangan itu dibuat bekas jurulatih skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) itu apabila diminta mengulas persembahan Pavithran dalam aksi Liga Super menentang Penang FC.
Bekas pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) II itu membuat penampilan pertama untuk Peteh dengan masuk menggantikan Mateusinho pada minit ke-81.
Meskipun perlawanan berakhir dengan keputusan 0-0, Nafuzi dilihat berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan Pavithran. Beliau percaya jika diberi sedikit masa lagi, pemain sayap Harimau Malaya itu mampu menyerlah bersama Terengganu.
“Pavithran ini masih barulah tapi saya rasa kita tahu kualiti yang Pavithran ada. Mungkin untuk kali pertama ini, perlukan sedikit masa lagi.
“Setakat (persembahan) pada malam ini pun dia baik, semuanya agak baik,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Nama Pavithran mula menjadi bualan peminat bola sepak selepas mempamerkan aksi memberangsangkan bersama skuad kebangsaan dalam kempen ASEAN Hyundai Cup. Beliau membentuk trio serangan bersama Paulo Josue dan Mohamadou Sumareh.
Pavithran kemudiannya berkelana ke Pantai Timur selepas tamat kejohanan dan menyertai Terengganu.