Pemain warisan Harimau Malaya, Gabriel Palmero laungkan kesediaan bagi membantu Malaysia menjelang aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam bulan depan.
Kesediaan itu disuarakan Gabriel Palmero sebaik beliau mula menemui rentak sebenar bersama kelab baharunya, Kuching City, selepas kembali daripada penggantungan FIFA baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai pertembungan menentang Vietnam, Gabriel Palmero menjelaskan dengan tenang bahawa beliau terus bekerja keras untuk memastikan diri bersedia sekiranya dipanggil.
”Sudah tentu (bersedia hadapi Vietnam). Saya sentiasa terus berusaha dan bekerja keras, sudah tentu saya bersedia,” ujar Gabriel Palmero ketika ditemui media selepas aksi berdepan Selangor.
Di sebalik isu sebelum ini, beliau menegaskan hubungannya bersama pemain-pemain dan jurulatih pasukan kebangsaan, Peter Cklamovski masih baik serta mereka kekal berhubung.
“Ya, saya sentiasa berkomunikasi dengan mereka (para pemain kebangsaan). Saya terus berhubung, saya ada berbual dengan Safawi (Rasid) dan Noaa (Laine), mereka kawan yang sangat baik.”
“Saya ada bercakap dengannya (Peter Cklamovski) beberapa minggu lalu dan hubungan kami memang sangat rapat.”
“Beliau (Peter Cklamovski) seorang individu yang sangat baik serta profesional yang bagus dan saya sentiasa mengekalkan hubungan rapat bersamanya.”
Setakat ini, status sama ada Gabriel Palmero boleh mewakili Harimau Malaya atau tidak bakal diputuskan oleh keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada 26 Februari ini.
Malaysia yang kini mendahului kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 bakal menentang Vietnam di laman lawan dalam aksi terakhir bagi penentuan negara mana akan beraksi di kejohanan berprestij itu.