Pemain pertahanan Harimau Malaya, Gabriel Palmero memilih bersikap tenang menjelang keputusan rayuan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada 26 Februari ini.
Pada penghujung Februari lalu, CAS memberi kebenaran kepada tujuh pemain warisan negara termasuk Palmero beraksi sementara rayuan mereka berjalan.
CAS turut menetapkan 26 Februari sebagai tarikh perbicaraan kes rayuan tujuh pemain warisan negara dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sekiranya rayuan mereka diterima CAS, penggantungan 12 bulan yang dihadapi tujuh pemain negara akan dibatalkan dan mereka kembali beraksi tanpa sebarang isu.
Apabila diminta mengulas tentang perkara tersebut, Palmero memaklumkan beliau memilih bersikap tenang sementara menunggu keputusan rayuan.
“Ya, sekarang ini saya tenang. Saya perlu kekal tenang dan tunggu keputusan akhir (CAS). Saya di sini untuk bermain bola sepak dan selebihnya itu perkara lain,” katanya.
Selepas dilepaskan CD Tenerife, Palmero kini beraksi untuk Kuching City FC. Beliau sudah merekodkan dua penampilan dan satu gol bersama The Cats setakat ini.