Gabriel Palmero Buka Akaun Gol Bersama Kuching City
MakanBola
KUCHING CITY FC

Pemain warisan negara, Gabriel Palmero, kembali menunjukkan kelasnya apabila menjaringkan gol dalam penampilan sulung bersama kelab baharu, Kuching City, pada Sabtu.

Beliau kembali beraksi selepas hampir enam bulan tidak bermain bola sepak akibat penggantungan oleh FIFA berikutan dakwaan pemalsuan dokumen kewarganegaraan Malaysia sejak September lalu.

Gabriel Palmero yang menyertai The Cats pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim ini, mempamerkan prestasi mengagumkan dalam aksi pertamanya bersama pasukan.

Gabriel Palmero dimasukkan pada minit ke-63 separuh masa kedua, menggantikan Danial Asri, dan hanya lima minit kemudian, berjaya meledak gol sulungnya untuk The Cats menerusi rembatan deras dari dalam kotak penalti lawan, Brunei DPMM, dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2025/26 di Stadium Negeri, Sarawak.

Perlawanan berakhir dengan keputusan agregat 6-2 memihak Kuching City, sekali gus menempatkan mereka ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2025/26.

Pasukan itu dijadualkan bakal menentang pemenang pertembungan antara Selangor dan Negeri Sembilan dalam satu lagi aksi suku akhir.