Gelagat tonggak import Sabah FC, Gabriel Peres bercakap menggunakan loghat Sabah mencuri perhatian penyokong pasukan itu.
Sejak bersama Sang Badak sejak Januari 2023, pemain pertahanan Brazil itu sentiasa mempamerkan aksi terbaik baik semasa bertahan mahupun menyerang.
Ini terbukti dengan 46 penampilan, 10 gol dan tiga bantuan gol yang direkodkan Peres dalam semua kejohanan termasuk Piala AFC 2023.
Kini, Peres dilihat mampu bertutur sedikit dengan loghat Sabah menerusi satu video yang dimuat naik pengurusan Sabah. Bek tengah berusia 27 tahun itu menyatakan, “Boleh bah kalau kau.”
Perkara ini disedari seorang lagi pemain import Sabah dari Korea Selatan, Ko Kwang-min. Pemain berusia 36 tahun itu hanya tersenyum sambil berkata, “Senang ja bah itu.”
Ramai penyokong cukup terhibur dengan gelagat Peres. Bagi seorang penyokong bernama RikiMaru James, dia percaya kesungguhan pemain itu mempelajari bahasa tempatan bakal menyebabkan beliau lebih disayangi penyokong.
“Terus belajar, Gabi. Orang akan lagi sayang anda jika anda bercakap bahasa tempatan,” katanya di ruang komen Facebook Sabah.
Sementara seorang penyokong bernama Kanda Wan percaya Peres mampu mengikut jejak kapten, Park Tae-soo. Ini kerana ramai penyokong menyanjung keupayaan Tae-soo bertutur dalam Bahasa Melayu loghat Sabah.
“Lama-lama lancar (pertuturan beliau) ini macam si Park (Tae-soo) dari segi loghat Sabah dia,” ujarnya.
Kudrat Peres dijangka ditagih Datuk Ong Kim Swee untuk aksi pusingan 16 Piala Malaysia 2024/25 menentang PT Athletic FC pada 23 November dan aksi timbal balik pada 27 November.