Pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid mendedahkan legenda Wales, Gareth Bale sebagai inspirasi di sebalik pemilihan nombor jersi 11 beliau.
Ini kerana nombor tersebut dilihat menonjol apabila Bale menggunakannya semasa beraksi bersama pasukan terkemuka dunia, Real Madrid.
“Sebenarnya, jersi ini (guna) dekat sepak takraw dulu. Saya main takraw dari umur 11 tahun sampai tingkatan empat. Tingkatan lima sudah main (dalam) Piala Presiden,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
“Rasanya masa dekat skuad Piala Belia, saya pakai nombor 37. Lepas itu, saya tengok ada pemain Eropah menonjol pakai nombor 11, saya kata, ‘Hebat (pemain itu).’
“(Pemain) macam Gareth Bale. Sebab Gareth Bale dulu pakai nombor 11, itu yang saya ikut dia.”
Selepas kembali menyertai Terengganu FC secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi kini meledakkan 13 gol dalam 27 penampilan.
Antara gol terbaik pilihan beliau ialah gol sepakan percuma ketika menentang Selangor FC dalam saingan Piala FA 2024.
Khidmatnya dijangka ditagih Peteh untuk aksi Kumpulan A Shopee Cup menentang BG Pathum United pada 6 Februari ini.
Ini kerana aksi tersebut menentukan sama ada Terengganu berjaya mara ke separuh akhir Shopee Cup atau tidak.