Juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) baru-baru ini telah mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan perlawanan pra-musim di Dubai dan Abu Dubai menjelang persiapan menghadapi musim 2022.
Menurut satu hantaran oleh Johor Southern Tigers, pasukan Harimau Selatan akan menentang FC Spartak Moscow, FC Rodina Moscow dari Rusia selain pasukan-pasukan seperti Riga FC dan MSK Zilina juga bakal menjadi lawan mereka di sana.
Ini juga bukanlah kali pertama pasukan kendalian Benjamin Mora ke sana setelah pada musim lepas, JDT telah pun menjadikan UAE sebagai destinasi bagi mempersiapkan pasukan menjelang musim baharu.
Bukan itu sahaja, pertemuan pasukan milik Tunku Ibrahim ini menentang gergasi Rusia, FC Spartak Moscow juga bakal menjanjikan kehangatan kerana disebabkan pencapaian mereka di pentas Eropah juga tidak kurang hebatnya.
Pertemuan menentang pasukan gergasi Eropah dalam perlawanan persahabatan ini amat penting dalam usaha melihat kemajuan pasukan ditambah pula dengan kejohanan besar seperti Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang mahu diharungi dengan baik.
Pasukan gergasi Rusia ini juga sudah pun mengumpul beberapa koleksi trofi berprestij termasuklah 10 kejuaraan liga, 10 Piala Soviet, 3 Piala Rusia dan satu Piala Super Rusia. Sungguhpun begitu, pasukan yang berada dalam senarai 100 pasukan terbaik dunia ini juga pastinya mahu mempersiapkan pasukan yang sedang berada di tangga ke-9 dalam liga ketika ini.
Usaha yang dilakukan oleh JDT ini telah mendapat pujian para penyokong yang mahu melihat pasukan terus cemerlang mencipta kejayaan dalam setiap kejohanan yang disertai setelah gagal mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi pada edisi sebelum ini.