Bek tengah KL City FC, Giancarlo Gallifuoco mengungkapkan rasa sayangnya kepada Malaysia.
Sejak tiba di Malaysia pada 2021, bekas pemain remaja Tottenham Hotspur itu dilihat pantas menyesuaikan diri bersama pasukan gergasi Lembah Klang itu.
Ini terbukti apabila beliau merekodkan 100 penampilan, empat gol dan satu bantuan gol bersama The City Boys.
Selain itu, Gallifuoco turut membantu KL City muncul juara Piala Malaysia 2021, naib juara Piala AFC 2022 dan naib juara Piala FA 2023.
Malah, bek tengah berusia 30 tahun itu turut menyelami budaya rakyat Malaysia. Salah satunya ialah duduk beramai-ramai di kedai mamak bersama semua pemain KL City.
Atas sebab itu, Gallifuoco menganggap Malaysia seperti rumahnya sendiri selepas menetap selama empat tahun.
“Empat tahun Malaysia menjadi rumah saya, saya sayang awak Malaysia,” katanya di X.
Bekas bek tengah Melbourne Victory itu turut berpotensi menjadi calon pemain naturalisasi Malaysia.
Sekiranya Gallifuoco melengkapkan tempoh lima tahunnya di Malaysia, beliau berpotensi menambah pilihan di bahagian pertahanan buat jurulatih baru negara, Peter Cklamovski.