Sebuah lagi kelab dari Thailand bakal menjejakkan kaki ke Johor Bahru selepas kehadiran Police Tero pada minggu lalu.
Chonburi FC bakal turun menentang jaguh Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam dua aksi persahabatan yang dijadualkan pada 20 Mac dan 22 Mac di Stadium Sultan Ibrahim.
Seramai 23 pemain akan dibawa Chonburi ke Johor Bahru temasuk beberapa nama yang tidak asing lagi buat peminat bola sepak tempatan seperti Herlison Caion dan Willian Lira yang pernah mewarnai saingan Liga Super Malaysia sebelum ini.
Dua aksi persahabatan ini bakal menjadi aksi pemanas badan bagi kedua-dua pasukan memandangkan saingan Liga Super masih belum bermula buat JDT manakala liga Thailand pula sedang berehat bagi aksi antarabangsa dan akan bermula pada 31 Mac kelak.
Perkara tersebut diumumkan secara rasmi di laman media sosial Instagram milik Chonburi FC pada hari ini mengenai aksi persahabatan antarabangsa menentang JDT.
Chonburi bakal menjadi pasukan kedua dari Thailand yang hadir ke Johor selepas Police Tero yang sedang mengadakan kem latihan khas termasuk aksi persahabatan melawan JDT tempoh hari.
Sebelum ini jurulatih baharu Police Tero, Tan Cheng Hoe telah berterima kasih kepada JDT dan yakin penggunaan fasiliti bertaraf dunia kelab JDT akan dapat membantu persiapan Police Tero mengharungi baki saingan liga Thailand.
“Saya mahu pemain saya mengalami persekitaran baharu dengan meminta mereka berlatih di kemudahan bertaraf dunia di rantau ini, dan ketika itulah pengurusan kelab menghubungi JDT untuk mendapatkan bantuan, dan mereka bersetuju membenarkan pemain kami menggunakan kemudahan mereka untuk latihan.”
“Kita semua tahu standard kemudahan JDT, kerana mereka mempunyai segala-galanya di kelab mereka dengan semua teknologi latihan terkini. Saya tidak mengatakan bahawa kemudahan kami tidak cukup baik, tetapi kemudahan di JDT jauh lebih baik dan akan memberikan pemain kami kelebihan yang lebih baik dalam persembahan mereka.” ujar Tan Cheng Hoe.
Police Tero sedang menjalani kem latihan pusat bermula 13 hingga 21 Mac kelak manakala Chonburi dijangka tiba dalam masa terdekat sebelum aksi persahabatan pertama yang dijadualkan pada 20 Mac ini.