Johor Darul Ta’zim (JDT) disebut-sebut bakal menyertai kejohanan pramusim di Indonesia, Piala Presiden atau President’s Cup.
Secara ringkas, Piala Presiden ialah kejohanan pramusim anjuran Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) yang menemukan pasukan-pasukan hebat negara itu dengan jaguh-jaguh dari luar negara.
Edisi musim 2025/26 menyaksikan kelab Thailand, Port FC dan kelab Liga Kejohanan, Oxford United beraksi dalam kejohanan itu.
Kini, wartawan sukan Thailand, Jay Worapath mendedahkan JDT antara beberapa pasukan luar yang dilaporkan akan menyertai kejohanan pramusim itu.
“Port FC sedang merancang lebih awal untuk pramusimnya, menguji pasukan sebelum bertanding dalam ACLE (Liga Juara-Juara AFC Elit) dan Shopee Cup.
“Rancangannya adalah untuk mempertahankan gelaran pramusim mereka di kejohanan Piala Presiden, yang dijangka akan melibatkan pasukan seperti Johor, Lion City Sailors dan Persib Bandung,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sekiranya berita ini menjadi kenyataan, ini dijangka mencuri perhatian ramai peminat bola sepak ASEAN. Ini kerana kejohanan pramusim ini bakal menjadi pertembungan awal kelab-kelab besar ASEAN termasuk JDT.
Sebelum ini, satu lagi kelab Liga Super, DPMM FC telah mengesahkan akan menyertai kejohanan sama. Ia dilihat sebagai medan pemanas badan sebelum musim 2026/27.
JDT pula akan berentap juara Piala Kelab Dunia FIFA, Chelsea dalam aksi persahabatan kelab antarabangsa pada 11 Ogos ini.