Giliran Penjaga Gol Pahang Rangers Sertai JDT
UltraSukan
JDT Futsal

Johor Darul Ta’zim (JDT) merekrut seorang lagi tonggak Pahang Rangers iaitu penjaga gol Zainulzahin Sinuan menjelang musim baharu Malaysia Premier Futsal League (MPFL).

Ketibaan Zainulzahin Sinuan atau lebih dikenali sebagi Uteh ini diumumkan secara rasmi oleh kedua-dua kelab menerusi sebuah kenyataan di laman media sosial pasukan masing-masing.

Pahang Rangers mengucapkan setinggi terima kasih kepada Zainulzahin Sinuan yang meninggalkan kelab selepas lapan musim bersama,” umum pasukan gergasi Pantai Timur itu.

“Penjaga gol berusia 25 tahun ini akan menyertai JDT Futsal bagi musim 2026 setelah klausa perpindahannya diaktifkan, dengan bayaran perpindahan tersebut akan disalurkan bagi memperkasa pembangunan pemain muda kelab.”

Tidak lama selepas itu, JDT memperkenalkan Zainulzahin sebagai muka baharu menerusi sebuah video pengenalan yang memaparkan penjaga gol bersama jersi bernombor 22.

Kehadiran Zainulzain yang juga tonggak Harimau Malaya ini bakal memperkukuh di posisi penjaga gol JDT bersama dua lagi pemain sedia ada ketika ini iaitu Aiman Fiqry dan Ammar Harith.

Sebagai rekod, beliau merupakan pemain kedua dari Pahang Rangers yang menyertai JDT pada jendela perpindahan kali ini selepas bintang muda, Norakmal Norizal yang diumumkan semalam.