Graham Potter Bakal Bos Baru Manchester United?
EPL
Adam Davy/Press Association
Advertisements

Selepas Ole Gunnar Solskjaer dipecat dan digantikan oleh pemangku jurulatih Ralf Rangnick, beberapa nama dikaitkan dengan kerusi panas Manchester United itu. Antara yang dikaitkan ialah Henk ten Cate (Ajax Amsterdam) dan Mauricio Pochettino (Paris Saint Germain). Terkini, pengurus Brighton Graham Potter dicanang sebagai pengurus baru United untuk musim hadapan.

Pengurusan kelab memantau rapi perkembangannya sebagai pengurus Seagulls itu. Dan mereka amat tertarik dengan prestasi yang dipamerkan Brighton walaupun kalah 2-0 dalam perlawanan EPL di Old Trafford baru-baru ini. Seagulls mendominasi babak pertama perlawanan dan beberapa kali menguji gawang yang dikawal penjaga gol United, David de Gea.

Bagaimanapun, semua usaha mereka tidak dapat diteruskan pada babak kedua. Pertama, gol pertama Red Devils melalui sepakan kencang Cristiano Ronaldo pada minit ke-50. Tidak lama selepas itu, bek tengah Lewis Dunk dilayangkan kad merah selepas didapati menghalang Anthony Elanga daripada menjaringkan gol.

Advertisements

Selepas itu, barulah United mengasak kubu Brighton tetapi berjaya dinafikan penjaga gol Robert Sanchez. Kemenangan Red Devils disahkan pada minit ke-97 menerusi gerakan cantik Bruno Fernandes.

Sebelum ini, Potter turut dikaitkan dengan perpindahan ke Tottenham Hotspur dan Newcastle United. Malah, namanya dicanang sebagai pengganti Nuno Espirito Santo sebelum Spurs memilih Antonio Conte sebagai pengurus baru mereka.

Begitupun, wujud spekulasi Potter enggan meninggalkan Seagulls kerana mahu mencuba nasib di kelab yang lebih besar berbanding Spurs. Dengan corak permainan menarik termasuk fokus kepada kawalan bola, ia pasti menjanjikan aksi hebat buat para penyokong di Old Trafford.

Advertisements

Bagaimanapun, jika Potter dicanang sebagai calon utama, maka beliau perlu memastikan barisan penyerang United lebih klinikal di hadapan gol. Ini kerana penyudah tumpul merupakan masalah yang membelenggu Seagulls sejak beberapa musim lepas. Hanya pada musim ini, isu penyudah tumpul dianggap berjaya diselesaikan oleh Potter dan barisan jurulatihnya.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram