Jurulatih Manchester City, Pep Guradiola mengakui tidak pelik dan bimbang dengan ketumpulan penyudah penyerangnya, Erling Haaland dengan menyaksikan City diikat 1-1 oleh Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.
Bagi Guardiola, Haaland telah mencuba sedaya upaya untuk mencetak jaringan dengan sembilan percubaan yang berjaya dihasilkan penyerang Norway itu.
Sedar akan ketumpulan yang dihadapi Haaland, Guardiola berpendapat beliau bukanlah orang yang sesuai untuk memberikan nasihat kepada seorang penyerang kerana beliau sendiri hanya menjaringkan 11 gol dalam tempoh 11 tahun.
Namun begitu, Guardiola optimis Haaland akan menemui semula sentuhan penyudah pada perlawanan yang akan datang.
“Ia bagus untuk melakukan sembilan percubaan dan masa akan datang dia (Haaland) akan menjaringkan gol. Saya adalah pemain bola sepak selama 11 tahun dan menjaringkan 11 gol.
“Statistik apakah itu? Satu gol semusim. Saya bukan lelaki yang sesuai untuk memberi nasihat kepada penyerang. Kami mencipta peluang, dia mempunyai peluang dan kelak dia akan menjaringkan gol. Saya tidak salahkan dia. Ini bola sepak, inilah lumrah manusia,” jelas Guardiola seperti dipetik Stadium Astro.
Dalam perlawanan awal pagi tadi, Raheem Sterling memberi pendahuluan buat Chelsea pada minit ke-42 melalui satu percubaan yang menarik selepas berjaya memperdaya Kyle Walker.
City melepaskan beberapa peluang keemasan namun jaringan penyamaan mereka hanya hadir pada minit ke-82 hasil jaringan Rodri yang melepaskan rembatan deras untuk mengakhiri perlawanan dengan keputusan 1-1.
Hasil tinjauan di laman Sofascore, Haaland merupakan pemain yang merekodkan penilaian terburuk dengan hanya menerima rating 6.4 sahaja dan ianya adalah terendah berbanding pemain-pemain lain yang beraksi.
