Rahsia kepetahan penyerang Malaysia berdarah Scotland, Fergus Tierney bertutur dalam Bahasa Melayu akhirnya didedahkan.
Ini selepas penyerang Sabah FC itu meminta panel Arena Bola meneka siapa pemain yang mengajar beliau sehingga fasih berbahasa Melayu.
“Kepada semua penganalisis di studio, cuba teka siapa yang ajar saya Bahasa Melayu di bilik persalinan Johor Darul Ta’zim (JDT) II,” katanya.
Pada awalnya, bekas penjaga gol JDT, Farizal Marlias secara berseloroh meneka nama bekas pemain Sri Pahang FC, Mohamadou Sumareh.
Selepas diberi petunjuk oleh moderator, Keeshaanan Sundaresan, bekas penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abd Aziz dengan tepat memilih nama kapten JDT II, Aysar Hadi Mohd Shapri.
Tierney kemudiannya mendedahkan bek tengah berusia 21 tahun itu banyak mengajarnya tentang Bahasa Melayu semasa beraksi di JDT II.
Penyerang berusia 22 tahun itu bukan asing dengan Aysar Hadi. Ini kerana selain di JDT II, kedua-duanya turut beraksi dalam skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23).
Tierney kini bersama Sabah secara pinjaman selama semusim dari JDT. Beliau membuat penampilan pertama bersama Sang Badak dalam aksi liga menentang KL City FC pada 13 Ogos lalu.
Perlawanan tersebut menyaksikan Sabah mengikat pasukan Lembah Klang itu dengan keputusan 1-1.