Habuan tambahan mencecah RM440,000 dan keseluruhan RM2.2 Juta menanti wakil Malaysia, Selangor menjelang aksi keempat AFC Champions League Two (ACL2).
Skuad kendalian Abdi Hassan turun dengan momentum terbaik apabila mengatasi Jeonbuk Hyundai pada aksi di Stadium MBPJ dengan keputusan 2-1.
Satu lagi tugas besar menanti Gergasi Merah apabila berkunjung ke gelanggang lawan dalam misi untuk mengekalkan kedudukan di tangga teratas kumpulan.
Selangor ketika ini masih belum tewas dalam mana-mana perlawanan di Asia selepas tiga perlawanan sekaligus memberikan motivasi tambahan di Korea.
Menerusi pengagihan kewangan oleh AFC, pasukan yang bertandang ke gelanggang lawan akan diberikan wang pelancongan bagi kegunaan logistik mencecah 50,000 USD (RM221,000).
Selangor juga berpeluang untuk meraih tambahan 50,000 USD (RM221,000) sekiranya berjaya melakar kemenangan ke atas jaguh Korea di gelanggang lawan.
Pasukan Merah Kuning juga ketika ini sudah mengumpul RM442,000 hasil dua kemenangan termasuklah wang penyertaan di ACL2 sekitar RM1.3 Juta.
Jumlah keseluruhan yang berpotensi berada dalam genggaman Selangor adalah sekitar RM2.14 Juta hasil penyertaan pada pentas kedua tertinggi Asia.
Aksi antara Jeonbuk Hyundai dan Selangor bakal berlangsung pada 7 November jam 6 petang di Jeonju World Cup Stadium.