Advertisements
Habuan Setengah Juta Milik Lee Zii Jia
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Kejayaan meraih pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 menyaksikan Lee Zii Jia menerima habuan setengah juta ringgit.

Zii Jia mengikut jejak Datuk Rashid Sidek dan Datuk Lee Chong Wei sebagai pemenang pingat Olimpik ketiga Malaysia.

Ini selepas beliau mengalahkan jaguh perseorangan lelaki dari India, Lakshya Sen dengan keputusan 13-21, 21-16, 21-11 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.

Susulan kejayaan itu, Zii Jia sudah menerima habuan berkenaan merangkumi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Pemenang pingat gangsa menerima insentif bernilai RM100,000 daripada SHAKAM. Pemenang turut menerima elaun bulanan Skim Imbuhan Tetap Olimpik sebanyak RM2,000 seumur hidup.

Selain skim SHAKAM, Zii Jia turut menerima insentif RM150,000 dalam bentuk geran dan skim daripada Majlis Sukan Negara (MSN). Geran sebanyak RM50,000 diterima sebelum saingan Sukan Olimpik 2024 dengan RM100,000 lagi diberi mengikut skim MSN.

Selain itu, juara Thailand Open 2024 itu turut menerima sebuah kereta Chery Tiggo 7 Pro daripada Chery yang bernilai RM123,800.

Zii Jia turut menerima insentif bonus sebanyak RM100,000 daripada 100 Plus sebagai tanda penghargaan atas usahanya di pentas Olimpik 2024.

Kesemua habuan ini dijangka membakar semangat pemain nombor tujuh dunia itu untuk layak ke saingan World Tour Finals yang bakal berlangsung pada Disember ini.

Selepas tidak menyertai Denmark Open akibat kecederaan, Zii Jia berharap dapat kembali ke gelanggang untuk beberapa kejohanan jelajah Persekutuan Badminton Sedunia (BWF).