Habuan Yang Menanti Setiap Pasukan Di Piala Dunia Kelab 2025
MakanBola
FIFA

Piala Dunia Kelab FIFA 2025 telah membuka tirainya di Amerika Syarikat dari 14 Jun lalu dan akan berakhir pada 13 Julai menampilkan 32 kelab terbaik dari enam benua.

Ini merupakan edisi pertama kejohanan ini diperluas kepada format 32 pasukan, menjadikannya antara kejohanan paling mencabar dan berprestij dalam sejarah bola sepak kelab.

Namun, yang paling mencuri perhatian bukan hanya jumlah pasukan tetapi nilai hadiah ataupun habuan yang ditawarkan buat kelab-kelab yang bertanding.

Menurut penganjur, jumlah keseluruhan hadiah mencecah ratusan juta paun, dengan kelab juara berpotensi membawa pulang hampir £97 juta (RM552.9 juta) satu angka yang hampir menyamai jumlah hadiah Liga Juara-Juara Eropah.

Kelab-kelab Eropah menikmati kelebihan besar dari segi pulangan kewangan. Setiap kelab dari Eropah dijamin sekurang-kurangnya bayaran £9.9 juta (RM56.4 juta) hanya dengan menyertai kejohanan ini, hasil penilaian dari sudut komersial.

Antara kelab-kelab terkemuka eropah yang beraksi dalam kejohanan ini ialah Real Madrid, Chelsea, Paris Saint Germain (PSG), Bayern Munich, Juventus dan Inter Milan.

Bagi kelab-kelab dari luar Eropah, kejohanan ini bakal menjadi lubuk emas untuk mengukuhkan kedudukan kewangan mereka. Penyertaan semata-mata sudah cukup untuk menjana jutaan paun, satu jumlah yang mampu mengubah masa depan kelab dari Afrika, Asia dan Amerika Selatan yang mempunyai sumber terhad.

Format kejohanan ini menawarkan ganjaran besar untuk setiap peringkat:

  • Kemenangan perlawanan peringkat kumpulan: £1.5 juta (RM8.55 juta)
  • Keputusan seri: £800,000 (RM4.56 juta)
  • Layak ke pusingan 16: £5.8 juta (RM33.06 juta)
  • Suku akhir: £10.1 juta (RM57.57 juta)
  • Separuh akhir: £16.2 juta (RM92.34 juta)
  • Naib juara: £23.2 juta (RM132.24 juta)
  • Juara: £30 juta (RM171 juta)

Jika sesebuah kelab berjaya mengekalkan rentak kemenangan dari peringkat kumpulan hingga ke final, keseluruhan pendapatan boleh mencecah sekitar £97 juta (RM552.9 juta) satu insentif yang mampu mengubah motivasi dan pendekatan setiap kelab yang bertanding.

Selain pulangan hadiah yang besar, kejohanan ini turut membuka peluang kepada kelab kecil untuk meningkatkan kantung kewangan mereka. Aksi di pentas dunia, ditonton ratusan juta peminat, boleh menarik minat pelabur, penaja dan perpindahan pemain yang lebih bernilai di masa hadapan.

Sumber kewangan kejohanan ini datang dari beberapa syarikat gergasi dunia seperti Aramco yang merupakan syarikat minyak nasional Arab Saudi, serta dana pelaburan negara (PIF). Turut terlibat ialah platform penstriman global DAZN yang membayar sekitar £800 juta (RM4.56 bilion) untuk hak penyiaran semua 63 perlawanan.

Kombinasi nilai hadiah yang besar, penyertaan global dan sokongan penaja bertaraf dunia menjadikan Piala Dunia Kelab 2025 sebagai acara yang bukan sahaja penting dari segi sukan, tetapi juga dari sudut komersial.