Penyerang Persib Bandung, David Da Silva meluahkan hasrat untuk menyarung jersi Timnas Indonesia di bawah bimbingan ketua jurulatih, Shin Tae-yong.
David Da Silva muncul penjaring terbanyaj Liga 1 Indonesia musim lalu setelah merekodkan 30 jaringan dan 26 bantuan gol untuk membantu Persib Bandung meraih gelaran juara.
Menurut Da Silva, kejayaan selaku penjaring terbanyak yang dicapai ini amat bermakna dalam hidup beliau yang juga hasil titik peluh sepanjang karier sebagai pemain bola sepak.
”Ini akan menjadi penghargaan paling bermakna dalam hidup setelah saya bekerja keras untuk (kejayaan) ini,” ucap Da Silva kepada Transfermarket Indonesia ketika menerima trofi.
Apabila ditanya mengenai masa hadapannya di Indonesia, Da Silva berharap dapat membuka mata Shin Tae-Yong untuk memberi peluang buat beliau menyarung jersi Sang Garuda.
”Saya fikir saya akan menetap di sini (Indonesia) dan saya berharap saya dapat bermain untuk skuad kebangsaan juga,” kata Da Silva kepada hos temu bual, Rimohardi Widodo.
”Saya ingin menyarung jersi Indonesia, hai Shin Tae-yong, saya di sini. Saya fikir timnas perlu mencetak lebih banyak gol,” ujar beliau lagi dalam nada tertawa.
Tambah beliau ini lagi, beraksi buat Indonesia umpama satu mimpi dan beliau berdoa agar impian untuk membawa nama Indonesia di peringkat antarabangsa ini termakbul suatu hari nanti.
”Ini merupakan mimpi, kita harus mengimpikan sesuatu yang tinggi. Semakin banyak kita bermimpi (cita-cita), semakin banyak kita berdoa.”
”Jadi saya berharap, saya antara orang yang akan dikabulkan doanya untuk mendapatkan peluang itu (menyarung jersi Timnas Indonesia),” tambah pemain kelahiran Brazil ini.