Kem latihan skuad kebangsaan sekali lagi diuji apabila penjaga gol muda Terengganu, Rahadiazli terpaksa digugurkan ekoran disahkan positif Covid-19. Berbaki 4 hari latihan pusat tempatan sebelum skuad kebangsaan ke Singapura, pengurusan pasukan mengambil keputusan untuk tidak memanggil penjaga gol baharu.
Ini bermaksud hanya 3 penjaga gol bakal dibawa ke Singapura bagi aksi persahabatan nanti iaitu Farizal Marlias, Khairulazhan Khalid dan Kalamullah Al-Hafiz. Rahadiazli didapati positif Covid-19 apabila melakukan ujian PCR setelah menunjukkan beberapa simptom berkaitan.
Sebelum ini 2 pemain iaitu Rahadiazli dan Hakimi Abdullah diarahkan menjalani kuarantin pada hari ini menyebabkan kedua-dua pemain tersebut tidak dapat menjalani latihan bersama pemain-pemain lain.
Tindakan pantas yang diambil pengurusan pasukan kebangsaan dalam mengekang penyebaran risiko jangkitan Covid-19 wajar dipuji kerana segera mengarahkan pemain menjalani kuarantin.
Perancangan Kim Pan-gon untuk meneliti kemampuan penjaga gol muda tinggi lampai ini nampaknya tidak kesampaian malah keinginan penyokong untuk melihat Rahadiazli menyarung jersi Harimau Malaya buat kali pertama juga tidak tercapai.