Dua pemain warisan Malaysia yang beraksi bersama Velez Sarsfield mengambil haluan berbeza.
Salah seorang pemain tersebut merupakan Imanol Machuca yang sudah membuat dua penampilan untuk Velez Sarsfield sejak kembali dari penggantungan FIFA pada September lalu.
Imanol Machuca diturunkan sebagai pemain gantian dalam dua aksi Liga Argentina menentang Def y Justicia dan River Plate baru-baru ini sekaligus mengubati kerinduan peminat Velez Sarsfield.
Hukuman penggantungan yang dikenakan ke atas Imanol Machuca ditangguhkan buat seketika selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) Januari lalu.
Manakala, seorang lagi pemain Malaysia yang turut beraksi buat Velez adalah bintang muda, Isaiah Teng yang memiliki pertalian darah menerusi datuknya yang berasal dari Johor.
Pemain sayap muda berusia 18 tahun itu bermain buat Velez Juvenile bagi saingan Sexta Division dan membantu skuad muda Velez itu muncul naib juara AFA Youth Championship 2025.
Walau bagaimanapun, berdasarkan laporan Harimau Abroad, jodoh Isaiah Teng dan Velez telah pun berakhir baru-baru ini sekali gus menimbulkan persoalan mengenai haluan baharu bintang muda itu.
Selain Malaysia, Isaiah Teng turut layak mewakili Singapura selain turut memegang kewarganegaraan Amerika Syarikat ketika ini, menurut laman Transfermarkt yang membolehkan beliau beraksi untuk negara tersebut.